Pengawal keselamatan maut kemalangan
AYER KEROH, 23 Nov. – Pengawal keselamatan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di hadapan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Tasek Utama Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 59 tahun, ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Wish dipandu wanita berusia 34 tahun.
Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal, Alor Gajah menghala ke Ayer Keroh manakala Toyota Wish terbabit dari Ayer Keroh hendak memasuki kawasan kilang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika MPV berkenaan sedang membelok ke dalam kilang sebelum mangsa yang datang dari arah Durian Tunggal terlanggar sisi kiri Toyota Wish terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala
dan disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.
Hasan Basri berkata, mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat, bagaimanapun pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut,” katanya.