Sorting by

×

Pengawal keselamatan maut, jururawat pandu Myvi selamat dalam nahas

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR GAJAH 31 Julai – Pengawal keselamatan maut manakala jururawat selamat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ), di sini, pagi tadi.

Mangsa, Achmad Alam Sah Hasan, 34,  yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian selepas merempuh kereta Perodua Myvi dipandu jururawat wanita berusia 26 tahun dalam kejadian jam 7.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pengawal keselamatan berkenaan ketika itu dipercayai menuju ke tempat kerjanya di Kelemak dengan menunggang motosikal jenis Honda RS150.

Mangsa, Achmad Alam Sah Hasan, 34,  yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian

Jelasnya, mangsa pada awalnya dari arah Alor Gajah menghala ke Tampin, Negeri Sembilan telah merempuh kereta jenis Perodua Myvi dipandu jururawat terbabit dari arah bertentangan sejurus tiba di simpang lampu isyarat Jelatang.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala jururawat terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

KEADAAN motosikal pengawal keselamatan yang maut.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kerana mangsa melanggar lampu isyarat.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1148
Kongsi :
Previous post Melaka bincang keperluan buka tanah perkuburan khas COVID-19 Selasa ini.
Next post 697 kes positif baharu, angka kedua tertinggi di Melaka
Ubah saiz-+=