Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun langgar anak tiri
AYER KEROH 14 Jan- Seorang pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas kesalahan melanggar anak tirinya.
Ramlan Abdul Karim,32 mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Ramlan didapati dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tirinya berusia 10 tahun dengan mencederakan menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15 warna biru di hadapan Kuarters Klinik Desa, Kampung Padang, Melaka pada 7 Jan lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Sekyen 324 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat atau mana-mana hukuman.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Shivasangari, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman keatasnya diringankan dengan alasan mempunyai enam tanggungan termasuk ibu dan bapa selain menyesali perbuatannya.
Nariman, kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap serta RM2,000.
Jika gagal membayar denda ditetapkan mahkamah tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.