PENGASUH TASKA DIDAKWA BUNUH BAYI BERUSIA LAPAN BULAN
Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Tiada pengakuan direkodkan kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Wanita itu didakwa menyebabkan kematian Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah taska di Jalan Kelemak Utama 3, Taman Kelemak Utama di sini antara 7.30 hingga 8.30 pagi pada 6 Sept lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka Ahmad Sazali Omar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.
Mahkamah menetapkan 13 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, kimia, dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita di taska berkenaan pada 7 Sept. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.