Pengarah JBPM Melaka antara tiga atlet ke Belanda
BUKIT KATIL 19 Julai – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain akan mengetuai pasukan boling JBPM pada temasya Sukan Polis dan Bomba Sedunia 2022 di Rotterdam, Belanda Ogos ini.
Beliau bersama dua lagi pegawai JBPM Melaka, Mohd Nurfarhan Azmi yang mewakili acara boling manakala Mohd Noor Mohd Sheh dalam acara badminton akan bergerak ke Belanda pada 20 Julai hingga 3 Ogos depan.
Menurut Abu Bakar yang juga pengurus pasukan Boling JBPM menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas akan dibawa balik ke Malaysia dalam kejohanan sukan dwi tahunan itu.
“Tiga wakil JBPM Melaka ke Sukan Polis dan Bomba Sedunia 2022 di Belanda, dua dalam pasukan boling termasuk saya dan seorang lagi wakil bagi acara badminton.
“Sebagai pengurus pasukan dan atlet bagi acara boling, JBPM menyasarkan tiga pingat emas dari lima acara boling yang disertai.
“Sebulan lebih pasukan boling berlatih dan kita harap emas dalam genggaman untuk Malaysia,” katanya yang akan bermain dalam kategori Grand Master atas 55 tahun di Belanda dijadualkan pada 22 Julai nanti.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Perhimpunan Dwi Tahunan 2022 JBPM Negeri Melaka Bulan Julai di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil di sini hari ini.
Untuk rekod, pasukan Boling JBPM pada tahun 2019 merangkul dua pingat emas dalam Sukan Polis dan Bomba Sedunia yang diadakan di China manakala tiga pingat emas dibawa pulang pada tahun 2017.
Seramai 41 pegawai JBPM dari seluruh Malaysia akan menyertai temasya dua tahun sekali itu dalam lima jenis permainan dengan sasaran kali ini untuk membawa pulang sembilan pingat emas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.