
Penganut Agama Hindu akur SOP sepanjang Thaipusam
BATU BERENDAM 18 Jan – Penganut agama Hindu akur dengan arahan kerajaan yang mengehadkan aktiviti tertentu pada sambutan perayaan Thaipusam kali ini.
Pengerusi Kuil Subramaniar Devasthanam, M. Murugan berkata, pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan menjaga penjarakan sosial dan mengimbas aplikasi MySejahtera.
“Kita perlu akur dalam hal ini agar tidak menyebabkan berlaku penularan wabak COVID-19,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Setiausaha kuil terbabit, S. Ravishandran berkata, pihaknya melakukan persediaan sejak sebulan lalu bagi memastikan sambutan Thaipusam dijalankan mengikut SOP ditetapkan.
Ravishandran berkata, seramai 50 orang membabitkan kakitangan kuil, pelajar dan sukarelawan membantu bagi memastikan sambutan Thaipusam berjalan lancar.
“Terima kasih diucapkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Jabatan Perpaduan Negara dan semua pihak yang membantu.
“Sehingga tengah hari nanti kami jangka seramai 1,000 penganut agama Hindu akan singgah ke kuil ini,” katanya.
Menurutnya, kuil berkenaan mampu memuatkan sehingga 6,000 pengunjung namun terpaksa dihadkan kepada jumlah ditetapkan pihak berkuasa susulan penularan pandemik COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.