Penganjur ‘ratu pondan’ gagal tampil beri kerjasama

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT PALAH 19 Julai – Penganjur bagi program peragaan ‘ratu pondan’ yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di negeri ini minggu hadapan telah dipanggil ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) namun gagal berbuat demikian.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, meskipun permohonan bagi penganjuran program itu belum diterima namun pihaknya sudah mengenal pasti penganjur program itu.

Katanya, penganjur program terbabit diminta untuk tampil memberikan keterangan namun sehingga ke hari ini, individu terbabit tidak hadir memberikan kerjasama.

“Sepatutnya kita minta dia datang ke Jabatan Agama Islam (JAIM) semalam tetapi setakat ini belum datang. Sebenarnya penganjur kita dapat dikenal pasti dan bukan dari Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Melaka 2023 di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada penganjur sekiranya individu terbabit mahu meneruskan program tersebut.

“Kita konsisten dengan keputusan dibuat iaitu tidak membenarkan penganjuran seperti itu sekiranya berlaku juga kita akan laksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penganjuran program itu tidak dibenarkan di Melaka susulan tular mengenai program itu dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berhubung penganjuran program tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2555
Kongsi :
Previous post Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah – Agong
Next post Anugerah Fatimah Az-Zahra, kategori baharu diperkenalkan
Ubah saiz-+=