Penganjur perlu perincikan garis panduan
AYER KEROH 30 Mei – Penganjur setiap program di negeri ini perlu menyediakan garis panduan khusus untuk pemamer, peserta dan artis bagi mengelakkan sebarang insiden atau perlakuan kurang sopan.
Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, penganjur juga diharap lebih berhati-hati dalam memastikan setiap acara dirangka sepanjang tempoh program berlangsung tidak menyinggung atau menimbulkan rasa kurang senang masyarakat.
“Bagi pihak agensi agama dan Kerajaan Negeri, saya berharap pihak penganjur supaya lebih berhati-hati berhubung program diatur. Bertujuan untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan juga mestilah mempunyai garis panduan yang jelas.
“Ini untuk diikuti oleh setiap peserta atau artis sebagaimana kita menjaga nilai dan norma seorang Muslim. Akhlak serta perlakuan menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Naim Mokhtar; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Katanya, perkara yang berlaku (tindakan tidak sopan pengasas produk) sudah pasti memberi kesan dan pihaknya terkilan dengan keadaan itu kerana ia tidak mengambarkan etika serta memahami budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam.
Terdahulu, tular video di media sosial mengenai tindakan tidak sopan seorang pengasas produk yang menari pada sebuah festival yang berlangsung di MITC, baru-baru ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.