Sorting by

×

Penganggur tidak sempat nikmati hasil samun kedai serbaneka 24

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KLEBANG 16 Feb – Terdesak untuk mendapatkan duit bagi perbelanjaan harian selain membeli bekalan dadah, seorang lelaki sanggup menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Bertam Perdana, Pulau Gadong, dekat sini, jam 7 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, bertindak atas maklumat kejadian itu, dua pegawai bersama sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Melaka Tengah bertindak mengesan suspek.

Katanya, suspek berusia 37 tahun dari Sandakan, Sabah itu akhirnya ditahan di sebuah rumah di Lorong Balai Panjang pada jam 1 tengah hari, semalam.

“Dalam serbuan itu, polis menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun, antaranya topi keledar, beg galas dan sebilah pisau pemotong daging berukuran 27 sentimeter panjang.

“Polis turut merampas motosikal jenis Aveta RX100 berwarna hitam kuning serta kuncinya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Afzanizar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memakai topi keledar ketika menyamun kedai serbaneka itu dan mengacukan parang kepada juruwang serta memaksanya menyerahkan rokok dan wang.

“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan wang samun itu untuk membeli barang keperluan harian selain membeli dadah syabu manakala rokok untuk kegunaan sendiri.

“Suspek mengaku mempunyai masalah kewangan kerana tidak bekerja dan bergantung kepada isteri yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Malim.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu manakala tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari hingga 22 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Views:

514
Kongsi :
Previous post Ahli Parlimen, ADUN terima vaksin COVID-19 fasa pertama
Next post UTem rai pelajar Tiong Hua tidak pulang sambut Tahun Baru Cina
Ubah saiz-+=