Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh dari bot
KUALA PERLIS, 8 Jun – Seorang penganggur dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di perairan Pantai Kuala Sungai Baru, di sini awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar Supt Baeyah Abdul Wahab berkata Bukhari Yusof, 45, dipercayai jatuh dari bot ketika sedang tidur manakala dua kru bot berkenaan sedang sibuk menangguk siput di kedudukan tiga batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru.
“Menurut seorang daripada kru bot itu, mereka menangguk siput kira-kira 1 pagi dan menyedari kehilangan mangsa tidak lama kemudian. Mereka melakukan pencarian selama dua jam namun gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Baru hari ini.
Baeyah berkata menurut kedua-dua kru bot itu, mereka tidak mengenali Bukhari yang menumpang tidur di dalam bot dan hanya menyedari kehadirannya ketika dalam perjalanan menangguk siput.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak 6.30 petang semalam melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibantu nelayan tempatan.
“Operasi mencari dan menyelamat Bukhari yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah melibatkan kawasan seluas 73.2 kilometer persegi. Polis telah memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata kes tersebut disiasat sebagai orang hilang dan buat masa ini tidak terdapat elemen jenayah.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.