Penganggur didakwa bunuh bapa kandung
PETALING JAYA, 4 Sept – Seorang penganggur yang didakwa memukul bapa kandungnya dipercayai menggunakan penyodok pasir kemudian membuang mayat yang dibalut dengan langsir di tepi jalan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh.
M. Jaisino, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh E. Mangalam, 74, di sebuah rumah di Taman Dato Hormat, di sini, pada 2.15 pagi, 26 Ogos lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan bunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menetapkan 6 Okt untuk sebutan semula kes.
Pada 29 Ogos, Bernama melaporkan seorang lelaki didakwa membunuh bapa kandungnya kerana berang akibat sering dihina kerana tidak bekerja.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata akibat teguran itu, suspek tidak berpuas hati lalu memukul kepala dan bahagian anggota badan bapanya dipercayai menggunakan penyodok pasir hingga menyebabkan kematian.
Katanya mayat lelaki warga emas itu ditemukan ahli keluarga terdekat dengan dibaluti kain langsir di tepi jalan di sekitar jalan PJS10.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.