Penganggur berdepan hukuman gantung bunuh bekas abang ipar
JASIN 27 Mei – Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, kerana membunuh bekas abang iparnya di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai pada 1 Syawal lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Amin Mohamad, 32 selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hanafiah Hanafi, 36, di alamat No 31A, Jalan Solok Berangan Enam, Umbai antara jam 7 hingga 7.30 pagi pada 13 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, Mohd Amin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Arthana Sarma Rao manakala tertuduh diwakili peguam, Mohan Singh.
Sementara itu, tertuduh turut berdepan empat lagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh atas kesalahan mencederakan empat individu termasuk bekas isteri dan dua anak perempuannya.
Di Mahkamah Sesyen, Mohd Amin didakwa mendatangkan kecederaan kepada Mah Azrul Mah Hussin, 39, menggunakan tangan ke bahagian muka dan sehingga mengakibatkan patah rahang kanan di Lorong Berangan Enam, Umbai kira-kira jam 11.55 malam pada 11 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Hashimah Hanafi, 32, yang ketika kejadian masih isterinya, menggunakan rotan di Batu 5, Jalan Hashim, Permatang Pasir, Alai pada jam 5 petang, 15 Disember tahun lalu.
Mohd Amin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh berdepan dengan dua lagi pertuduhan iaitu mencederakan dua anak perempuannya masing-masing berusia 10 dan 8 tahun menggunakan rotan di lokasi dan waktu sama.
Atas kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah ke atas keempat-empat pertuduhan selepas pendakwaan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi semua pertuduhan pada 16 Julai bagi serahan dokumen dan sementara menunggu laporan kimia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.