Sorting by

×

Pengambilan semula pekerja asing bantu pemulihan perniagaan, ekonomi – FMM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menghargai tindakan pantas kerajaan mengumumkan pembukaan semula pengambilan pekerja asing dari negara sumber kerana ini akan membantu industri dan memperbaiki kadar serta rentak pemulihan perniagaan dan ekonomi.

Selain itu, langkah ini dapat memulihkan keyakinan dan kebolehpercayaan Malaysia sebagai hab pembuatan dan penggiat rantaian bekalan global di rantau ini, sekali gus meningkatkan daya saing eksport negara.

“Kami turut menantikan pengumuman segera Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai kemasukan pekerja asing dan memohon agar pihak industri terlibat sama dalam perbincangan bagi memastikan SOP itu boleh dipraktikkan dan pada masa sama tidak menambah beban kos yang tidak perlu kepada majikan dalam tempoh ekonomi yang mencabar ini,” kata Presiden Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Industri menyedari ancaman kesihatan semasa pandemik COVID-19 dan keperluan untuk memastikan kemasukan pekerja tidak menambah risiko kesihatan tetapi pada masa yang sama meminta SOP tidak mengenakan kekangan kewangan tidak wajar kepada majikan dan perlu ada ketelusan penuh pada semua elemen kos yang terlibat.

Industri juga menyatakan pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat telah ditangguhkan kepada 1 Julai, 2022 dan berterima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan masa pelaksanaan perubahan dasar itu.

Beliau berkata FMM sentiasa menyokong pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat yang akan membolehkan kuasa permintaan dan penawaran menentukan hasil selain mempengaruhi tingkah laku pasaran dengan berkesan tanpa gangguan; memberikan kejelasan dan kepastian kepada kelulusan; mengurangkan birokrasi dan menghapuskan peluang untuk penyalahgunaan dan rasuah.

“Kami memohon agar butiran mengenai levi pelbagai peringkat dan kadar itu diumumkan pada Januari 2022 untuk memberi industri masa yang diperlukan bagi merancang dan menyesuaikan diri dengan sistem levi baharu berkenaan.”

Pada masa yang sama, FMM terus mengingatkan industri supaya menjadi majikan yang bertanggungjawab dan memastikan pematuhan yang ketat kepada semua undang-undang buruh dan pekerjaan, standard dan amalan sumber manusia apabila menggaji pekerja asing.

Dalam jangka panjang, usaha bersama perlu diambil untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing termasuk penggunaan teknologi dan pemprosesan automasi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1149
Kongsi :
Previous post Bawa senjata ke Pulau Besar demi ‘content’ TikTok, dua sekawan ditahan
Next post Teater ‘Tu Hantu Hantu’ menghiburkan, penuh sindiran
Ubah saiz-+=