Sorting by

×

Pengambilalihan kem PLKN bantu kurangkan kesesakan penjara, depoh tahanan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ALOR GAJAH 5 Feb. – Pengambilalihan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai pusat tahanan dan kuarantin sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penjara sementara antara tindakan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh tahanan Imigresen dan penjara seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung menjadi langkah untuk mencegah dan mengawal penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Kesesakan di dalam penjara dan depoh tahanan jelasnya, antara cabaran utama yang memerlukan penyelesaian segera untuk tempoh jangka panjang dan ia perlu dilakukan secara bersepadu oleh semua pihak.

“Kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di dalam institusi tahanan amatlah penting dalam usaha kita memastikan rantaian jangkitan penyakit berjangkit dalam kalangan tahanan dapat diputuskan,” katanya.

NOOR Hisham melawat operasi penjara satelit di Kem PLKN A’Famosa Alor Gajah dalam lawatan kerjanya di Melaka, Foto kredit – Facebook Dr Noor Hisham

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasminya selepas lawatan kerja ke Kem PLKN A’Famosa, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lawatan itu, Noor Hisham memaklumkan Kem PLKN A’Famosa antara kem yang digazetkan sebagai penjara satelit bagi tahanan sementara sebelum dijatuhkan hukuman.

Banduan katanya, akan ditempatkan di penjara satelit itu dalam tempoh minimum 10 hari bagi menjalani saringan COVID-19.

“Sekiranya terdapat tahanan yang dikesan positif, mereka akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Sungai Udang, Melaka bagi tujuan rawatan dan isolasi.

“Semua kontak kes akan menjalani kuarantin 10 hari dari tarikh akhir pendedahan dan dipantau oleh pasukan perubatan di penjara itu,” katanya lagi.

Views:

2149
Kongsi :
Previous post Warga APM Melaka diminta kekalkan disiplin tinggi
Next post PKP 2.0 : Melaka rayu kerajaan beri kelonggaran subsektor pelancongan sukan beroperasi
Ubah saiz-+=