Sorting by

×

Pengamal industri Melaka perlu aktif CSR kitar semula

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERKAM 27 Jun – Pengamal industri di Melaka digalak untuk menjadikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kitar semula sebagai aktiviti berterusan di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat melestarikan alam sekitar, sekali gus memperkasa gaya hidup hijau serta rendah karbon di Melaka.

Menurutnya, langkah yang diambil beberapa syarikat dalam memperkenalkan botol kitar semula Botol Recyle Prt (RPeT) wajar dipuji dan diikuti syarikat-syarikat berasaskan makanan yang lain.

“Ini bagi mengelakkan kebergantungan negara kepada tapak pelupusan sisa pepejal sanitari yang masih begitu tinggi pada ketika ini.

“Setakat ini, lebih 80 peratus daripada botol-botol yang dijana akan berakhir di tapak pelupusan sisa pepejal kerana tidak dikitar semula

“Manakala, kita juga sedia maklum, tapak pelupusan seperti di Sungai Udang juga semakin tenat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek RPeT antara Syarikat Kewpie Malaysia Sdn Bhd, Hiroyuki Industries dan Canzo di Kawasan Perindustrian Serkam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kewpie Malaysia Sdn Bhd, Atsushi Miyata; Pengarah Urusan Hiroyuki Industries (M) Sdn Bhd, Hiroyuki Nakata dan Pengurus Besar Canzo Sdn Bhd, Lim Eng Tak.

photo_2023-06-27_16-33-21
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Botol Recycle Pet (RPET) di KEWPIE Malaysia, Kawasan Perindustrian, Merlimau, Jasin. Turut bersama Pengarah Urusan Kewpie Malaysia Sdn Bhd, Atsushi Miyata (dua dari kiri), Pengarah Urusan Hiroyuki Industries (M) Sdn Bhd, Hiroyuki Nakata (kanan) dan Pengurus Besar Canzo Sdn Bhd, Lim Eng Tak (kiri). Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Rais, Kerajaan Negeri juga sedang mempergiatkan usaha memperluas sistem pembuangan sisa pepejal agar dapat dikitar semula
secara sistematik ke seluruh negeri.

“Di antara inisiatif terbaharu Kerajaan adalah Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle seperti yang terdapat di Taman Botanikal, Ayer Keroh.

“Justeru, saya berharap, usaha yang dilaksanakan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya kitar semula, namun ia juga mampu mengekalkan Melaka sebagai antara negeri terbersih di negara tercinta ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2007
Kongsi :
Previous post 41 asnaf ceburi bidang pertanian, tingkatkan taraf hidup
Next post Pasangan kekasih dituduh bunuh warga emas
Ubah saiz-+=