Pengalaman mengajar saya – Fairul Nizam
SERI NEGERI 25 Jun – “Alhamdulillah, sebaik menerima anugerah ini ia telah mengimbau kembali kenangan manis dan pahit saya dalam kepimpinan Gerakan Belia 4B suatu ketika dahulu yang telah mengajar saya untuk menjadi pemimpin pada hari ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan.
Beliau mendahului senarai penerima Pingat Bakti Belia (P.B.B) pada Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Kebesaran Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Kali Ke-42 di Seri Negeri, di sini hari ini.
“Terima kasih kepada MGBM, kerajaan negeri dan semua pihak terlibat dalam penganugerahan ini,” katanya.
Bagi Fairul Nizam, kepimpinan belia negeri yang ada hari ini perlu memfokuskan bidang pendidikan dalam kalangan belia bagi melahirkan generasi yang lebih unggul pada masa akan datang.
Beliau berkata, pelbagai penekanan akan diambil pihaknya bagi memperkasakan pendidikan terutama buat penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dalam misinya kali ini.
“Selain kita memfokuskan kepada peluang pekerjaan kepada golongan pencari pekerjaan ini sebenarnya ia berbalik kepada pendidikan kita kerana pada hari ini negara dalam revolusi industri kurang melahirkan kebolehpasaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Secara peribadi, kita perlu fokus dalam pendidikan sebagai asas utama dalam pembangunan belia sudah pasti mereka dapat berdiri dengan sendiri dan sudah pasti asas pendidikan serta jati diri mereka sudah kuat.
“Malah apa yang kerajaan negeri sudah buat pada hari ini dengan bantuan, sumbangan dan pengiktirafan pelaja-pelajar kita dalam sektor pendidikan perlu diteruskan dan diperkasakan lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, dalam penganugerahan yang diadakan hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menjadi penerima anugerah tertinggi majlis berkenaan apabila dianugerah Bintang Khidmat Cemerlang (B.K.C.) disampaikan Yang di Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.