Sorting by

×

Pengalaman luas Ismail Sabri dalam pentadbiran Muhyiddin kekuatan dilantik TPM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan jemaah menteri baharu yang diumumkan hari ini bertepatan dengan pengalaman luasnya dalam pentadbiran kerajaan termasuk pernah menjawat beberapa jawatan Menteri.

Naib Presiden UMNO itu berada dalam Kabinet sejak tahun 2008 sebagai Menteri Belia dan Sukan sehingga 2009; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2009-2013); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013-2015).

Ahli Parlimen Bera itu kemudian dilantik Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (2015-2018) sebelum menjadi Menteri Kanan Pertahanan bermula 12 Mac 2020.

Memulakan kariernya sebagai peguam pada 1985, Ismail, 60, yang mememegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia selain Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil pada 1996.

Dalam bidang politik, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mula bergiat aktif pada 1987 dengan menjawat Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian.

Menjadi Ketua UMNO bahagian Temerloh pada 2004, karier politik beliau terus meningkat sehingga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 2018.

Biografi Ismail Sabri:

Nama: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Isteri: Datin Sri Muhaini Zainal Abidin
Tarikh lahir: 18 Januari 1960
Tempat lahir: Temerloh, Pahang
Nama anak:
1. Nina Sabrina
2. Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi
3. Nashriq
4. Iqbal

Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM)

Politik:
2004 – sekarang : Ketua UMNO Bahagian Temerloh
2018 – sekarang : Naib Presiden UMNO

Karier:
1985: Peguam
1995: Pengarah, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
1996: Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
2008 – 2009: Menteri Belia dan Sukan
2009 – 2013: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
2013 – 2015: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
2015 – 2018: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post Promosi Melaka E-Bazar bermula hari ini
Next post Polis Melaka edar 900 bakul makanan
Ubah saiz-+=