Sorting by

×

Pengakap Laut Melaka lima terbaik negara

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MASJID TANAH 17 Ogos – Kontinjen Pengakap Laut Melaka berjaya melakar 22 kemenangan pada Perhimpunan Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Ketua Kontinjen Pengakap Laut Melaka, Zulhusnie Khalib berkata, kontinjen negeri berjaya memenangi beberapa kategori utama daripada 13 acara yang dipertandingkan, sekali gus meletakkan Melaka di kedudukan lima terbaik.

Katanya, perhimpunan tersebut menghimpunkan lebih 700 pengakap laut dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Antara kategori utama yang diungguli Melaka adalah Paip Bosun Kategori Kelana; Kim Game Snorkel Kategori Remaja Perempuan dan Isyarat Bendera Semaphore Kategori Campuran Kelana.

“Sebanyak 50 gelaran untuk dirangkul oleh para peserta menerusi perhimpunan yang berlangsung selama empat hari itu.

“Perhimpunan tersebut turut diisi dengan ceramah tentang kerjaya sebagai pelaut, pameran agensi-agensi bidang kelautan seperti Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Zulhusnie, walaupun hadir sebagai status ‘underdog’, Melaka berjaya memberikan saingan sengit kepada kontinjen dari negeri-negeri lain.

“Sebagai salah seorang pemimpin Pengakap Laut Negeri Melaka, saya mengharapkan lebih ramai lagi penyertaan dalam kalangan pelajar di negeri ini seterusnya menjadi ejen perubahan kepada belia di luar sana.

“Keanggotaan Pengakap Laut ini terbuka di seluruh negara, mereka akan diajar berkaitan dengan ilmu kelautan, cara penyelamatan di air, komunikasi menggunakan semaphore dan kod morse, mencerap bulan dan bintang, merasai penggunan alat skuba dan Teknik kayuhan kayak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1362
Kongsi :
Previous post PPSPM bangunkan aplikasi Melaka River Cruise
Next post 51 pelajar kolej keracunan makanan, 7 kafe diarah tutup
Ubah saiz-+=