Pengakap Laut Melaka dalami ilmu perkapalan, maritim
AYER KEROH 3 Ogos – Seramai 80 ahli pengakap laut seluruh Melaka, mengukuhkan pengetahuan mengenai sejarah dan perkembangan industri maritim di Malaysia menerusi lawatan ke Pameran Pengakap Laut bersempena Sambutan Hari Maritim Sedunia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka, Muhammad Zulhusnie Khalib berkata, peserta mengikuti lawatan itu turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti diatur, melawat reruai pameran selain menyaksikan demonstrasi berkaitan maritim.
“Program ini bagus untuk melahirkan lebih ramai anak-anak Melaka yang terlibat dalam industri perkapalan dan maritim. Selain itu pendedahan diberikan sepanjang program ini meningkatkan lagi kemahiran pengakap laut.
“Pengetahuan terutamanya membabitkan keselamatan di air boleh dikongsi bersama komuniti maritim di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Muhammad Zulhusnie berkata, sepanjang pameran itu peserta juga berpeluang melihat pelbagai peralatan canggih berteknologi tinggi terkini digunakan dalam dunia maritim.
“Lawatan ini memberikan pengalaman interaktif yang bermanfaat dan menyeronokkan. Acara ini diharap dapat menyemai semangat cintakan laut dan alam sekitar dalam kalangan generasi muda, selain memupuk nilai kepimpinan serta kerjasama dalam kalangan ahli pengakap laut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.