Sorting by

×

PENETAPAN KADAR ZAKAT FITRAH IKUT KEMAMPUAN PEMBAYAR

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 13 Februari – Penetapan kadar bayaran zakat fitrah di Negeri Melaka diputuskan berdasarkan kepada kemampuan pengguna membeli beras mengikut gred ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya melaksanakan kajian terhadap penggunaan beras super special tempatan, beras super special import dan basmathi.

“Kita laksanakan kajian lapangan untuk mengenal pasti harga beras yang dijual, segantang beras bersamaan 2.6 kilogram (kg), apabila kita lihat ramai pengguna masih menggunakan beras tempatan jadi kita tetapkan bayaran zakat fitrah RM7 itu.

“Ketika ini sudah semakin ramai yang mampu beli beras Siam, berikutan itu harganya sudah naik jadi kita naikkan kadar zakat fitrah kepada RM15, begitu juga pengguna beras basmathi kadar ditetapkan tahun ini adalah RM22.

“Keputusan ini dibuat selepas kita menghantar kajian ke Jabatan Mufti Negeri Melaka, jadi terdapat tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM15 dan RM22 yang mengikut kegunaan beras pembayar zakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Azmi berkata, majoriti rakyat di Negeri Melaka menggunakan beras tempatan, berikutan itu kadar zakat RM7 masih lagi dikekalkan tahun ini.

“Tahun ini kita menyasarkan jumlah kutipan zakat fitrah bagi Negeri Melaka akan mencapai RM6.3 juta. Kepada umat Islam yang berkenaan jangan lupa laksanakan tanggungjawab anda kerana berzakat adalah salah satu daripada rukun Islam.

“Peranan yang anda mainkan turut membantu meringankan dan melapangkan kehidupan asnaf. Kutipan zakat akan disalurkan untuk membantu golongan berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

82
Kongsi :
Previous post KARNIVAL ICT, INOVASI BANTU MANTAPKAN PERKHIDMATAN
Next post WRUR PENGKALAN BATU SUBURKAN MALAM NISFU SYAABAN