Penerimaan rakyat positif, BN mampu menang besar – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 November – Barisan Nasional (BN) optimis mampu meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Keyakinan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penerimaan rakyat berbilang kaum termasuk Orang Asli yang memberi sokongan positif kepada parti itu.

“Saya nampak sangat positif bukan sahaja daripada kita kaum Melayu tapi juga kaum Cina, India macam tempat saya Orang Asli, semuanya sangat positif dan penerimaan mereka sangat baik pada BN.

“Jadi penerimaan yang sangat positif ini, saya yakin BN boleh memenangi untuk PRU15 nanti iaitu dengan kemenangan yg lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Malam Durian Tunggal di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan.

Dalam pada itu beliau yang juga Naib Presiden UMNO dan Calon BN Bera berkata, tawaran manifesto menerusi Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta (PADU) pada PRU15 dibentangkan berdasarkan sumber kewangan kerajaan.

Katanya, ia berbeza dengan pihak pembangkang yang hanya mengumumkan manifesto tanpa sebarang sumber kewangan sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Mereka membentangkan bajet dengan janji pelbagai kerana mereka tidak tahu yang mereka tidak mampu pun, mereka membentangkan juga manifesto dan ternyata apabila mereka menang, mereka gagal untuk melaksanakan kerana tidak ada bajet.

“Sedangkan kita bajet manifesto BN adalah manifesto yang mengambil kira bajet. Banyak yang kita janjikan dalam manifesto adalah berdasarkan bajet yg dibentangkan jadi dari segi kewangan, mencukupi dan boleh dilaksanakan apabila bajet diluluskan selepas ini.

“Tetapi untuk luluskan bajet, membentangkan semula bajet bagi saya perlu undi BN,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan PADU sebagai tawaran pada PRU15 yang merangkumi 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan kepada parti itu untuk mengemudi negara menjadi negara berkemajuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1969
Kongsi :
Previous post Kerajaan campuran ditentukan parti, bukan individu – Ismail Sabri
Next post Veteran tiup api semangat untuk Ah Kon
Ubah saiz-+=