Penerima vaksin tidak digalakkan jalani ujian antibodi
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Penerima vaksin tidak digalakkan untuk menjalankan ujian antibodi ke atas vaksin COVID-19 bagi mengesan tahap keberkesanannya ke atas tindak balas imun, memetik laporan portal Astro Awani sebentar tadi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana perkara itu masih diperhalusi dan setakat ini belum ada sebarang garis panduan klinikal yang menunjukkan antibodi mana yang boleh menghasilkan keputusan yang tepat.
“Jadi saya harap orang ramai tidak akan menjalankan ujian antibodi kerana banyak pekara yang masih lagi kita tidak tahu mengenai tindak balas imun yang kita dapat kita dapat dari vaksin COVID-19,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) Persada PLUS di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan tiga individu termasuk seorang peguam, mendakwa bahawa antibodi terhadap COVID-19 tidak dikesan dalam badan mereka setelah menerima dua dos vaksin Sinovac.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan negara-negara lain termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) juga tidak menggalakkan ujian tersebut ke atas vaksin COVID-19.
Namun demikian katanya, Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sedang menjalankan kajian mendalam bagi melihat kesan imun selepas penerimaan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.
“Biarkan IMR melakukan kajian, jadi jangan lakukan ujian antobodi memandangkan tiada sebarang kajian tindak balas imun dilakukan (ke atas vaksin COVID-19) setakat ini,” jelasnya.
Hasil kajian itu katanya akan didedahkan kepada orang ramai sebaik sahaja selesai kajian tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.