Penerima Sinovac wajib ambil dos penggalak – Khairy
KUALA LUMPUR 7 Feb – Kerajaan mewajibkan kepada penerima lengkap vaksinasi Sinovac agar terus menerima suntikan penggalak sebelum 1 Mac depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, syarat pengambilan dos penggalak itu turut diperluaskan kepada individu berumur 60 tahun yang lengkap menerima vaksinasi pelbagai jenama.
Katanya, syarat itu turut diwajibkan kepada penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas bagi mengelakkan status vaksinasi lengkap digugurkan selepas tempoh berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya individu lengkap vaksinasi lengkap tidak menerima suntikan penggalak, status sijil kuning dalam aplikasi MySejahtera akan bertukar kepada sijil putih.
“Ia akan bertukar kepada putih bermakna vaksinasi penuh tidak diberikan kepada individu terbabit dan sekatan akan diberikan kepada mereka di mana-mana pintu masuk.
“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) berpendirian bahawa menggalakkan mereka untuk menerima penggalak jenama Pfizer atau AstraZeneca yang diyakini keberkesanannya berbanding Sinovac.
“Kita ada menerima keengganan dari penerima Sinovac untuk dapatkan penggalak tapi perlindungan terbaik adalah dari Pfizer atau Astra Zeneca kerana 3.5 juta penerima jenama ini akan terdedah kepada gelombang Omicron,” katanya dalam sidang media diadakan, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun pihaknya akur buat penerima lengkap Sinovac untuk kekal menerima jenama penggalak yang sama namun kini berada pada jumlah yang terhad dan akan diberikan kepada penerima terawal di negara ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.