Penerbitan bukan kriteria mutlak kenaikan pangkat pensyarah-UMT
KUALA TERENGGANU 15 Feb. – Penerbitan bukanlah kriteria mutlak yang membolehkan seseorang pensyarah dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagai profesor dan profesor madya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menurut Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata antara kriteria lain kenaikan pangkat sebagai profesor di UMT merangkumi amanah pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, pemindahan ilmu serta kepimpinan akademik dan pengurusan.
Beliau berkata setiap permohonan kenaikan pangkat yang dikemukakan oleh ahli akademik UMT perlu melalui pelbagai proses saringan ketat untuk memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang sudah diperakukan oleh Senat sebagai badan akademik tertinggi di universiti dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti sebagai pihak berkuasa tertinggi di universiti.
“Calon perlu mengemukakan permohonan melalui Dekan, pengarah institut atau pusat masing-masing dan jika ia disokong oleh ketua jabatan berkenaan, suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh profesor di peringkat fakulti, pusat atau institut itu akan menapis dan menilai kewajaran permohonan calon.
“Sekiranya calon gagal melepasi saringan dalaman ini, permohonan tidak akan dipanjangkan kepada jawatankuasa penapis di peringkat universiti. Namun, apabila permohonan dibawa ke jawatankuasa penapis di peringkat universiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf profesor,” katanya hari ini.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan, Malaysia berada pada tangga kelima dalam kecenderungan menerbitkan jurnal pemangsa atau predatory journal disebabkan sikap ahli akademik yang mahukan kenaikan jawatan ke profesor madya dan profesor dengan jalan pintas.
Data itu diperoleh daripada penyelidikan antarabangsa melibatkan 172 negara dalam empat bidang iaitu sains kesihatan, sains hayat, sains fizikal dan sains sosial untuk tempoh dua tahun dari 2015 hingga 2017.
Mengulas lanjut, Nor Aieni berkata dari segi penerbitan, pihak jawatankuasa penapis di peringkat universiti akan mendapatkan pengesahan data penerbitan setiap calon melalui portal carian rasmi laman sawang Scopus atau WOS.
Nor Aeini berkata jika terdapat sebarang artikel jurnal yang tidak dapat disahkan atau tidak diindekskan oleh Scopus atau WOS, artikel yang disenaraikan oleh calon akan ditolak.
Pada peringkat ini, mana-mana predatory journal akan dapat dikesan oleh pihak jawatankuasa.
“Jika melepasi saringan ini, permohonan calon akan dikemukakan kepada penilai luar yang terdiri daripada profesor dalam bidang yang berkaitan dan mesti mempunyai pencapaian H-Index sekurang-kurangnya 15 dalam bidang Sains & Teknologi dan 10 dalam bidang Sains Sosial.
“Berdasarkan garis panduan, permohonan calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya tiga penilai luar termasuk seorang dari luar negara. Dari segi aspek penerbitan, sekali lagi pada peringkat ini ia akan disahkan oleh penilai luar yang dilantik bahawa penerbitan calon adalah penerbitan yang sememangnya berwibawa,” katanya.
“Keseluruhan proses ini menggambarkan sesuatu permohonan kenaikan pangkat ke jawatan profesor atau profesor madya akan disaring dan dinilai secara telus. Langkah ini adalah untuk menjamin ahli akademik yang diperakukan kenaikan pangkat merupakan mereka yang terbukti pencapaian dalam bidang kesarjanaan masing-masing,” katanya.