PENERBANGAN SINGAPURA-MELAKA DAPAT SAMBUTAN HEBAT
SERI NEGERI 30 Disember – Penerbangan Singapura-Melaka-Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang dimulakan syarikat tambang rendah milik Singapore Airlines, Scoot Private Limited (Scoot) bermula 23 Oktober lalu mendapat sambutan hebat.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, sepanjang tempoh tiga bulan beroperasi, penerbangan itu telah merekodkan hampir 9,000 penumpang dan ia dijangka mampu mencecah 10,000 penumpang sehingga berakhir tahun ini.
Menurut beliau, sambutan hebat itu menyebabkan syarikat penerbangan itu menambah beberapa penerbangan khas susulan permintaan tinggi daripada penumpang, khususnya pelancong dari luar negara.
“Sepanjang tahun depan, Scoot telah menyuarakan komitmen untuk meneruskan penerbangan lima kali seminggu di LTAM, mereka juga bakal membuat penerbangan tambahan pada musim-musim tertentu, antaranya Tahun Baharu Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Sementara itu, Hameed turut membuka pintu kepada mana-mana syarikat penerbangan lain untuk memulakan operasi di LTAM memandangkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)bakal melancarkan rebat istimewa bermula 1 Januari 2025 hingga Disember 2027.
Katanya, menerusi inisiatif Network Development Programme (NDP), syarikat penerbangan yang mahu beroperasi di LTAM berpeluang mendapat pengecualian caj pendaratan, rebat kenaikan bilangan penumpang dan sokongan pemasaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.