Sorting by

×

PENERBANGAN SCOOT KE MELAKA, LEBARKAN AKSES PELANCONGAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 23 Oktober – Penerbangan Scoot dari Singapura ke Melaka memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pelancongan antarabangsa di Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jalur penerbangan itu memiliki kepentingan strategik terutamanya dalam usaha melebarkan lagi akses masuk ke Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan antarabangsa.

Katanya, penerbangan itu dilihat amat membantu dalam usaha meningkatkan taraf pelancongan Melaka ke peringkat lebih tinggi selain menjadi salah satu aspek persediaan sebagai tuan rumah penganjuran World Tourism Day 2025 (WTD 2025) dan World Tourism Conference (WTC) 2025.

“Secara tidak langsung penerbangan Scoot membantu merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) seterusnya membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran 15 juta pengunjung dan pelancong sepanjang tahun ini.

“Tiket penerbangan ditawarkan pada harga SGD69 atau RM226 untuk tempoh permulaan di aplikasi dan laman sesawang Scoot,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Scoot ke Melaka di LTAM, Batu Berendam di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Abdul Razak, turut memaklumkan penerbangan Singapura ke Melaka itu mampu menarik lebih ramai pelancong dari China dan negara lain melalui Lapangan Terbang Changi.

“Sebagai ‘key player’ yang menghubungkan destinasi global, Scoot memiliki kelebihan untuk menarik pelancong luar negara ke Melaka.

“Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh dalam perkembangan sektor pelancongan dan penerbangan, kita harap dapat bekerjasama rapat dengan Scoot di masa hadapan sebagai usaha memastikan kejayaan berterusan di rantau ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post SCOOT ‘TOUCHDOWN’ DI MELAKA
Next post MURID DARI MELAKA PECAH REKOD KEBANGSAAN BALINGAN KAPAL TERBANG KERTAS
Ubah saiz-+=