Penerbangan pertama jemaah haji 9 MEI – Tabung Haji
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata bagi penerbangan terakhir jemaah haji ke Arab Saudi pula dijadualkan pada 9 Jun ini.
“Insya-Allah hari wukuf adalah pada 15 Jun 2024,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Syed Hamadah berkata kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia kekal pada 31,600 orang seperti diumumkan kerajaan Arab Saudi sebelum ini.
“Pihak TH telah berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dan ia masih terlalu awal untuk mendapatkan jawapan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Kebanyakan (yang menerima tawaran) adalah mereka yang gilirannya memang jatuh pada tahun 1445H (tahun ini) dan juga ada yang tertangguh dari tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira enam peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji itu ialah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan ibadah itu.
Mengenai perancangan penelitian semula kadar minimum deposit pendaftaran haji iaitu RM1,300 ketika ini, Syed Hamadah berkata hal itu masih dalam kajian TH dan belum ada keputusan muktamad berkenaan perkara tersebut.
“Insya-Allah, mungkin dalam masa terdekat kita akan membuat pengumuman mengenai perkara ini,” katanya.
Berhubung perkembangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan berhubung laporan pengurusan serta pengoperasian TH itu, sama ada didedahkan kepada umum atau sebaliknya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.