Penerbangan Malindo Air, Melaka-Pulau Pinang pada November
AYER KEROH, 25 Sept.- Operasi penerbangan Malindo Air, Melaka-Pulau Pinang yang dijangka pada Oktober ini ditangguhkan sehingga November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata, penangguhan itu dilakukan bagi membolehkan promosi lebih giat dijalankan sekaligus menarik lebih banyak permintaan dalam menggunakan khidmat penerbangan itu.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Malindo Air dan persetujuan dibuat untuk operasi semula dijalankan bermula pada November.
“Pada Oktober, UPEN dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan mengadakan ‘mass promotion’ dalam menarik seberapa ramai pelancong ke Melaka dengan menggunakan penerbangan Malindo Air begitu juga dari sini ke Pulau Pinang.
“Malah UPEN juga akan menjalinkan kerjasama dengan agensi pelancongan di Pulau Pinang untuk menarik penduduk sana bercuti ke Melaka, dan kita sama-sama akan ke sana mengadakan promosi itu nanti,” katanya.
Menurut Roslan, pertukaran tarikh penerbangan itu juga disebabkan permintaan perjalanan pada Oktober tidak mencapai sasaran untuk Malindo Air melakukan penerbangan.
“Saya difahamkan disebabkan permintaan kurang dan bawah sasaran ia tidak dapat untuk ‘take off’ ke Pulau Pinang pada Oktober ini,” katanya.