Penemuan objek asing di Pantai Geting adalah boya
PELABUHAN KLANG 8 Dis – Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan penemuan objek asing yang terdampar di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan Isnin lalu adalah pelampung pandu atau dikenali boya.
Menerusi satu kenyataan JLM, pelampung pandu itu berfungsi sebagai petunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kepada kapal dan bot serta pengangkutan air di kawasan berkenaan.
Katanya, susulan penemuan alat bantuan pelayaran di pantai terbabit, Bahagian Pengurusan Trafik dan Bantuan Pelayaran (BPTBP) JLM Wilayah Timur (JLMWT) mengarahkan Ketua Pejabat Laut Kuala Besar untuk menyiasat kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati boya tersebut adalah milik JLM yang ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu yang telah hanyut akibat kejadian ombak kuat dan air pasang besar,” kata kenyataan itu.
Isnin lalu, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Sidek Ali menemui objek seakan piring terbang terdampar di pantai terbabit sebelum gambarnya bersama boya itu tular di laman media sosial.
Berikutan penemuan itu, JLM memaklumkan satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan dan pemantauan berkala juga dilakukan oleh pasukan teknikal BPTBP.
“Pemantauan berkala dilakukan oleh pasukan teknikal BPTBP sementara menunggu kerja-kerja pemindahan boya tersebut ke tempat yang lebih selamat yang dijangka akan selesai dalam minggu ini,” katanya.
Dalam pada itu, JLM mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati boya tesebut dan melarang sebarang aktiviti di kawasan pantai terbabit berikutan boleh mengakibatkan kecederaan serius dan risiko kehilangan nyawa.
Jelas kenyataan itu, JLM menegaskan boya tersebut adalah aset kerajaan dan menjadi satu kesalahan menceroboh kawasan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.