Penemuan mayat dua beranak berpelukan terpahat dalam ingatan
BANDA HILIR 15 Mei – Penemuan menyayat hati mayat ibu dan anak berpelukan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Batang Kali masih segar dalam ingatan seorang anggota wanita Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Mengimbau kembali detik tragedi itu, Pegawai Bomba Lowena Crystalynn William, 23 berkata tidak dapat digambarkan perasaannya ketika penemuan mayat dua beranak itu.
Namun penemuan itu menjadi penguat semangat dalam dirinya untuk terus berusaha mencari saki-baki mangsa yang masih terperangkap dalam tragedi itu.
“(Penemuan) paling sedih kerana ketika ditemui itu keadaan mangsa dua beranak itu masih berpelukan, namun pada masa memberi kekuatan serta semangat untuk cari lagi dan cari lagi mangsa lain yang masih tertimbus.
“Dalam keadaan mencabar dengan pergerakan tanah yang masih berlaku, saya dan pasukan meneruskan SAR pada malam hari sebelum menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Anggota Sedunia 2023 di Dataran Pahlawan di sini.
Anggota wanita dari Papar, Sabah itu berkata meskipun baharu empat tahun menyertai pasukan wira merah itu namun pengalaman berdepan bencana besar memberi inspirasi dalam dirinya untuk terus berbakti kepada negara.
“Kejadian di Batang Kali adalah SAR paling besar dihadapi, sebelum itu saya pernah terlibat ketika runtuhan jejambat lebuh raya yang menghempap sebuah van kilang di mana ketika itu saya mengeluarkan mayat wanita warga asing yang terperangkap.
Leona yang kini bertugas di Pasukan Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur mengakui dia meminati pasukan beruniform sejak di bangku sekolah dan rezeki berpihak kepadanya apabila dapat menyertai pasukan bomba.
“Kerjaya ini memang berisiko tinggi dan lebih didominasi lelaki namun dengan latihan dan kemahiran, tiada perkara mustahil dicapai sekiranya kita bersungguh-sungguh.
Terdahulu, anak bongsu dari tiga beradik itu antara anggota STORM yang terlibat dalam persembahan gimik penyelamatan seorang kanak-kanak yang terperangkap akibat tanah runtuh dalam sambutan itu.
Sambutan yang diadakan di peringkat kebangsaan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.