Penduduk trauma kejadian ‘angin datang tiba-tiba’
PAYA RUMPUT 22 Feb – Kejadian ribut petang semalam, disifatkan sebagai paling ‘ganas’ oleh mangsa yang terkesan apabila merosakkan puluhan rumah dalam sekelip mata.
Penduduk di kawasan terjejas menyifatkan kejadian petang semalam sebagai paling buruk dan amat mengejutkan setakat ini.
Mangsa bukan setakat menanggung kerugian tinggi berikutan kerosakan perkakasan rumah sebaliknya ada yang hilang tempat tinggal berikutan bumbung rumah diterbangkan ribut.
Bagi penduduk di Kampung Lanjut Manis, Zaidi Hassan, 49, dia masih kebingungan dan trauma dengan tiupan angin yang merosakkan kediamannya itu.
“Kira-kira jam 6.30 petang berlaku hujan lebat secara tiba-tiba datang angin kencang yang terbangkan bumbung bahagian dapur.
“Bahagian dapur semua basah, mesin pembancuh, tepung untuk buat kuih semua kena air. Sekarang saya tengah alihkan zink, besi dan kemaskan bahagian dalam rumah yang terjejas, terpaksa cuti hari ini,” katanya.
Nada sama disuarakan, penduduk Kampung Belimbing Dalam, Jaafar Taib, 67, yang masih terkejut apabila atap rumahnya habis diterbangkan ribut hanya dalam masa kurang seminit.
“Ketika itu budak-budak menjerit ketakutan saya pula terkedu, tak sempat dan tak boleh nak buat apa-apa, cuma boleh cakap supaya mereka duduk diam-diam saja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.