Sorting by

×

Penduduk Taman Bidara Indah dakwa tangki SAMB tidak berfungsi

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Feb. – Penduduk Taman Bidara Indah, di sini mendakwa dua tangki yang disediakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di kawasan tangki air utama taman itu, gagal berfungsi.

Mereka mendakwa, sejak kedua-dua tangki itu diletakkan di kawasan berkenaan pada Disember 2019, ia tidak mampu menjamin kelangsungan bekalan air untuk kira-kira 500 penduduk bila gangguan bekalan air di kawasan sekitar.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Bidara Indah, Mohd Yassin Hussin, 51, mendakwa kedua-dua tangki itu diletakkan di kawasan berkenaan bagi menyokong pembekalan air tangki utama jika berlaku gangguan bekalan air.

DUA tangki dan rumah pam disediakan SAMB di Taman Bidara Indah, Masjid Tanah yang masih belum berfungsi.
Foto – DIN AHMAD

“Bagaimanapun, ketika negeri ini mengalami catuan bekalan air selama dua bulan pada awal tahun lalu, tangki utama dan kedua-dua tangki sokongan tidak berfungsi dan menyebabkan taman ini tidak terkecuali daripada mengalami catuan,” katanya di taman itu hari ini.

Penolong setiausaha persatuan itu, Hamdan Nordin, 61, berkata penduduk meminta SAMB memberi penjelasan mengenai kegagalan tangki berkenaan berfungsi.

“Kami sangkakan kedua-dua tangki itu mampu berfungsi sebagai sokongan tetapi tidak menjadi kenyataan dan kami hairan mengapa ia masih berada di kawasan itu,” katanya.

Negeri ini mengalami catuan bekalan air dari 29 Januari hingga 30 Mac 2020 akibat kemerosotan paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, selain Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin berikutan kemarau.

Ketika air dicatu, bekalan air dihentikan selama 24 jam sebelum disambung semula selama 24 jam dan ia berlangsung sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif (CEO) SAMB, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, kontraktor dilantik SAMB meletakkan kedua-dua tangki berkenaan dan membina rumah pam pada Disember 2019.

Bagaimanapun, kerja pemasangan paip dari rumah pam ke tangki serta pendawaian elektrik masih belum dibuat, katanya.

“Memang ada air bersih disalurkan ke kedua-dua tangki itu dan SAMB sekarang membuat kerja penambahbaikan sistem bekalan air jika berlaku tekanan rendah di kawasan sekitar.

“Insya-Allah kerja itu akan siap sepenuhnya menjelang hujung bulan ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, penyempurnaan kerja berkenaan akan membolehkan penduduk menerima bekalan air walaupun berlaku gangguan bekalan di kawasan sekitarnya.

Pix 5 dan 6: Dua tangki dan rumah pam disediakan SAMB di Taman Bidara Indah, Masjid Tanah yang masih belum berfungsi.
– Foto DIN AHMAD

Views:

1529
Kongsi :
Previous post Melaka tidak rancang laksana PKPD di Serkam
Next post Kluster Industri Serkam tidak jejas bekalan ayam mentah
Ubah saiz-+=