Penduduk Sungai Putat tak tahan hadap banjir setiap tahun

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SUNGAI PUTAT 5 Mei – Raya bersulam duka, itulah gambaran keadaan penduduk di Kampung Sungai Putat apabila kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan pagi tadi.

Penduduk Mansor Kasmun Yusof, 60, ketika ditemui meluahkan rasa sedih kerana sekali lagi diduga dengan kejadian sama yang dialaminya pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

“Barangan dan kelengkapan rumah banyak yang rosak, berikutan itu ramai dalam kalangan penduduk tidak beli perabot baharu kerana risau berlaku banjir.

“Saya tinggal di kampung ini sejak tahun 1990 dan jika tidak silap ini kali keenam kawasan rumah saya dilanda banjir.

“Kita tidak boleh buat apa, kalau banjir kita kemas rumah, nasib anak saya kejut kira-kira jam 8 pagi cakap air sudah mula naik jadi sempat pindahkan apa yang patut,” katanya yang tinggal bersama empat anak dan isteri.

Seorang lagi penduduk Mohd Saidi Mohd Hashim,42, berharap kerajaan negeri atau pihak berwajib dapat membina benteng bagi mengelakkan limpahan air sungai berhampiran setiap kali hujan lebat berlarutan.

PENDUDUK Kampung Sungai Putat melakukan kerja-kerja membersihkan rumah.

“Bila hujan terlalu lebat dalam masa sejam saja air sungai di depan akan melimpah, jadi harap pihak berkenaan dapat bina benteng lebih tinggi.

“Pernah sebelum ni banjir sampai paras dada, barang rosak tidak perlu cerita, sebab itu sekarang rumah memang tiada barang kecuali bersaiz kecil dan penting sahaja.

“Ini pun saya sudah tinggikan lantai rumah tiga tahun lalu, kalau tak memang air akan masuk rumah lagi teruk,” katanya.

SUASANA Kampung Sungai Putat yang kerap dilanda bencana banjir.

Sementara itu, Md Yusof Hitam,69, yang menetap lebih 40 tahun di kampung itu turut meminta supaya kerajaan negeri mencari jalan bagi mengatasi masalah bencana banjir tersebut.

“Kalau ada benteng mungkin boleh kurangkan risiko banjir, saya menetap di kampung ini sejak tahun 1976, sekarang ini banjir semakin kerap berlaku.

“Saya tinggal bersama empat ahli keluarga di rumah ini, setiap kali raya anak-anak yang lain akan pulang, tapi saya suruh mereka pulang awal kerana risau terkesan banjir seperti hari ini.

“Jadi saya harap jasa baik kerajaan negeri dapat selesaikan masalah ini, setidaknya cari kawasan penempatan untuk penduduk Kampung Sungai Putat. Siapa yang tahan setiap tahun nak hadap banjir,” katanya.

PENDUDUK Kampung Sungai Putat meredah banjir.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2842
Kongsi :
Previous post Tertekan pedal minyak, Kancil rempuh restoran tomyam
Next post Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tepi Sungai Golok
Ubah saiz-+=