Sorting by

×

Penduduk Sungai Putat diuji banjir kilat kali kedua

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

SUNGAI PUTAT 5 Julai – Penduduk Kampung Sungai Putat hari ini sekali lagi diuji musibah banjir kilat berpunca daripada hujan lebat seawal jam 6 pagi tadi.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, 10 keluarga terjejas akibat air bah yang melimpah dari sungai berhampiran dan naik mendadak sehingga paras pinggang menyebabkan 19 penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat selamat oleh anggota bomba.

Penduduk Muhammad Yusof Hitam, 68, berkata, belumpun segala kerosakan dialami akibat banjir kilat pada Mei lalu diatasi, kini penduduk berdepan banjir kali kedua dan terpkasa menangung kerugian lebih banyak.

MUHAMMAD Yusof.

“Saya terjaga masa hujan jam 6 pagi tadi…kemudian sekitar jam 8 pagi lebih, hujan makin lebat tanpa henti hingga air naik paras pinggang.

“Air melimpah dari sungai berdekatan, nasib baik isteri saya yang tidak sihat saya sudah minta anak pindahkan awal-awal manakala saya dan cucu lelaki mengemas apa yang patut.

“Saya hanya dapat selamatkan beberapa perkakas termasuk microwave, peti ais, tong gas dan mesin basuh. Air naik terlalu cepat jadi saya selamatkan apa yang perlu saja,” katanya yang pasrah dengan kejadian itu.

PENDUDUK Kampung Sungai Putat sekali lagi ditimpa banjir kilat.

Menurutnya, dia berharap pihak berkaitan menyalurkan bantuan memandangkan kos kerugian yang ditanggung terlalu banyak.

“Saya anggarkan kerugian dialami kira-kira RM10,000 termasuk ketika banjir pada Mei lalu, sebab itu sekarang saya tak berani nak beli barang di dalam rumah.

“Jadi saya hanya baiki perabot dan perkakas yang rosak untuk diguna semula…hendak beli baru dalam keadaan sekarang memang tak mampu, jadi saya harap kerajaan negeri datanglah bantu kami,” katanya lagi.

MANSOR.

Seorang lagi penduduk, Mansor Yusof,59, turut meluahkan kesedihan apabila terpaksa berhadapan situasi yang sama buat kali kedua.

Katanya, ketika kejadian dia berada di luar sebelum dihubungi anaknya pada jam 11 pagi meminta dia pulang segera kerana rumah mereka dilanda banjir.

“Bila sampai saja di rumah saya lihat air dah penuh dan tidak masuk ke dalam rumah sebab keadaan kaki yang tidak sihat.

“Namun, saya sempat alih kereta dan tiga motosikal manakala barang-barang lain sebahagian saja dapat diselamatkan oleh anak-anak dan selebihnya.

“Jika dikirakan memang saya mahu selamatkan semua barangan di dalam rumah bagi mengelak kerugian, namun lebih utama selamatkan diri dulu,” katanya yang menghidap angin ahmar.

MOHAMAD Hamdan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, setibanya di lokasi pihaknya menyelamatkan 19 penduduk yang terkandas di dalam rumah.

“Anggota bomba tiba jam 12 tengah hari di sini, kami memindahkan sembilan kanak-kanak dan 10 perempuan dewasa yang terkandas di dalam rumah mereka.

“Air naik mendadak dalam 30 minit saja, jadi mereka (penduduk) tidak sempat keluar rumah dan pihak bomba terpaksa membantu,” katanya ditemui di lokasi.

Katanya, seramai 25 anggota bomba terbabit operasi menyelamatkan mangsa dengan menggunakan kekuatan dua jentera lori pengangkut, sebuah pajero dan kembara serta dua bot fiber.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

828
Kongsi :
Previous post Kenapa ‘peram’ barang saya?
Next post Dua lelaki maut, bas bertembung motosikal
Ubah saiz-+=