Penduduk resah masalah tanah runtuh belum selesai
JASIN 14 November – Penduduk Taman Lipat Kajang Perdana khususnya di Lorong 8 di sini semakin resah berikutan tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu berlarutan sudah lebih setahun.
Situasi itu semakin membimbangkan penduduk kerana ia berhampiran rumah mereka selain faktor hujan sejak kebelakangan ini yang boleh mengundang bahaya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lipat Kajang Perdana, Suhaimi Ahmad,53, memberitahu, hakisan tanah itu mula berlaku sejak Jun 2022 dan ia semakin ketara pada tahun ini (2023).
“Isu tanah runtuh ini dah berlarutan hampir setahun enam bulan, kita memang risau terutama penduduk di Lorong 8 ini yang berada berhadapan tanah runtuh.
“Ditambah pula sekarang ini musim hujan, setiap kali hujan tanah akan terhakis sedikit demi sedikit, sebelum ini kami sudah ajukan beberapa kali kepada agensi terlibat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan.
“Adun kawasan ada datang melawat, tetapi selepas lawatan itu kami lihat tiada tindakan susulan dan ini semakin meresahkan penduduk di sini kerana ramai anak-anak yang masih kecil di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di taman tersebut di sini, hari ini.
Bagi pesara, Shukor Abd Jalil,59, pula memberitahu pada awalnya runtuhan tanah tersebut hanya sedikit, namun ia merebak lebih besar.
“Saya mohon masalah ini diambil tindakan segera, selain kos yang semakin tinggi, saya bimbang ada perkara tidak diingini berlaku sehingga mengancam nyawa penduduk di sini khususnya anak-anak kami.
“Lebih-lebih pula terdapat padang permainan yang berdekatan dengan kawasan tanah runtuh ini, saya tak mahu selepas ini ada kecelakaan atau kemalangan berlaku kepada anak-anak ini sewaktu mereka,” katanya.
Menurut Shukor, tapak asal kawasan runtuhan itu adalah kolam tadahan air yang mengalir untuk taman perumahan berkenaan.
“Kawasan ini terbahagi dua, sebelah adalah tanah taman dan sebelah lagi tanah penjara berdekatan. Dahulu ada pagar dan laluan, tetapi sejak berlaku runtuhan semuanya hilang.
“Jika dibiarkan lebih lama tidak mustahil curam sedalam 30 kaki ini akan merebak dan terhakis lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Tijah Karim, 58, meminta supaya masalah itu segera diselesaikan sebelum ia meragut nyawa anak-anak yang masih kecil.
“Sebagai ibu kita tidak boleh setiap masa pantau atau sekat pergerakan anak-anak, kadang-kadang mereka bermain di luar kita tidak nampak apa bahaya yang akan datang.
“Jangan tunggu sampai mengancam nyawa atau berlaku kematian baharu nak selesaikan masalah ini, kami cuma harap selesaikan bersama masalah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.