Penduduk resah, kawasan rumah di Taman Anjung Gapam ‘diserang’ anjing liar
BEMBAN 15 Februari – Kira-kira 400 penduduk di Taman Anjung Gapam, di sini, gusar apabila kawasan perumahan didiami mereka diancam dengan kehadiran anjing liar.
Penduduk ingin dikenali sebagai Abu Zahar, berkata, saban hari bilangan anjing liar itu semakin bertambah dan keadaan itu berlarutan dalam tempoh agak lama.
Beliau berkata, selain tidak tahan dengan ancaman kumpulan anjing liar itu, penduduk merasakan keadaan keselamatan mereka terancam apabila ada kejadian haiwan itu mengejar orang awam dan penduduk.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk bukan sahaja risau malah merasa takut dengan kehadiran anjing liar yang semakin bertambah.
“Pertambahan bilangan ini kerana menjadi lokasi pembuangan kepada individu atau pemilik yang enggan lagi membela anjing peliharaan mereka selain disebabkan ada pihak dari luar yang memberi makan kepada anjing-anjing ini,” katanya.
Katanya, susulan daripada itu juga penduduk merasa takut untuk keluar beriadah kerana ‘diganggu’ anjing liar ini.
“Ada kejadian anjing liar ini mengejar dan mengigit penduduk sewaktu mereka beriadah dan berjoging.
“Malah terdapat juga insiden penghantar makanan kemalangan akibat terlanggar dan dikejar kumpulan anjing ini,” katanya.
Ujar Abu Zahar, kehadiran haiwan itu turut membawa kepada masalah kebersihan apabila tong sampah digeledah dan sampah bertaburan selain najis anjing ini kelihatan di merata tempat.
“Kami penduduk amat berharap tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) agar penduduk tidak terus dibelenggu dengan isu ini.
“Tindakan segera juga dapat dibuat bagi mengelak sesuatu tindakan diambil sendiri oleh penduduk yang mungkin boleh mengundang spekulasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.