Penduduk Pantai Kundor teruja KM turun padang
PANTAI KUNDOR 11 Julai – Penduduk Pantai Kundor merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali di atas kesudiannya turun padang bertemu rakyat di kawasan ini.
Tompang Mohd Yasin, 83, penduduk asal di Kampung Pantai Rombang berkata, dia gembira melihat pemimpin negeri itu mengambil peduli segala permasalahan rakyat.
“Kehadiran Ketua Menteri membuatkan kami penduduk di sini sangat berbesar hati. Dari Subuh menunaikan solat berjemaah dan mendekati rakyat di kawasan sekitar menunjukkannya sebagai seorang pemimpin yang prihatin.
“Kami sangat gembira dan berharap agar Datuk Haji Sulaiman Md Ali dapat turun lebih kerap ke kawasan kami dan dapat memajukan lagi kawasan ini,” katanya.
Nada sama turut disuarakan nelayan di kawasan ini, Sarip Arshad, 66.
Ujarnya, kehadiran Ketua Menteri itu secara tidak langsung dapat membantu nelayan di kawasan ini yang selama ini terjejas dengan pelbagai masalah seperti hakisan pantai dan infrastruktur yang kian usang.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Aziz Md Yassin, 69, menyuarakan harapan agar kerajaan negeri dapat memajukan kawasan Pantai Kundor yang menjadi antara salah satu lokasi pelancongan Melaka.
“Kita berharap agar dapat indahkan lagi pantai di kawasan ini untuk menarik lebih ramai pelancong datang sekali gus dapat menambah pendapatan penduduk setempat.
“Apa pun, saya berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana sudi mendekati rakyat di kawasan ini dan menunjukkan keprihatinan kepada rakyat.
“Bagi saya inilah kerajaan terbaik yang diperlukan rakyat pada masa sekarang,” ujarnya.