Penduduk lega ‘jalan tikus’ Paya Rumput-Krubong kembali tenang
PAYA RUMPUT 11 Feb. – Kebimbangan penduduk Kampung Paya Rumput mengenai kesesakan Jalan Tuan Guru Hj Ahmad yang dijadikan jalan pintas untuk mengelak sekatan jalan raya (SJR) seperti didedahkan Melaka Hari Ini (MHI) kelmarin, akhirnya menemui jalan penyelesaian.
Ia apabila pihak polis mula mengadakan pemantauan dan sekatan di pintu masuk dan keluar ‘jalan tikus’ terbabit bermula pagi semalam.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, selepas berita itu disiarkan, pihak polis bertindak mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 itu.
Hasil perbincangan itu telah menjurus kepada pemantauan dan sekatan di kedua-dua jalan masuk dan keluar, termasuk di jalan tengah kampung berkenaan yang mana anggota bertugas hanya akan membenarkan penduduk kampung sahaja melalui jalan berkenaan.
“Buat masa ini hanya penduduk kampung sahaja dibenarkan melalui jalan ini dengan syarat perlu menunjukkan bukti bil elektrik atau air berserta alamat rumah. Jika tiada bukti, kenderaan tersebut difahamkan perlu berpatah balik.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MHI kerana baru sehari dilaporkan, masalah ini sudah mendapat perhatian yang mana pihak polis sudah mengadakan pemantauan dan sekatan bermula jam 8 pagi semalam.
“Sekarang ini memang kami lega kerana jalan kampung ini sudah mulai tenang dan tidak lagi sesak dengan kenderaan. Walaupun menerima kecaman ramai pihak, namun kami rasa lebih selamat seperti ini,” katanya ketika dihubungi.
Pada Selasa, MHI melaporkan jalan kecil di Kampung Paya Rumput berubah menjadi seolah-olah jalan utama apabila ia dilalui ratusan kenderaan termasuk lori dan bas pada setiap hari.
Jalan itu dijadikan jalan pintas orang ramai bagi mengelakkan SJR Paya Rumput iaitu sempadan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah yang dikuatkuasakan sejak PKP 2.0, 13 Januari lalu.