Sorting by

×

Penduduk bimbang Pantai Puteri akan hilang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Okt. – Kawasan berpasir di Pantai Puteri dikhuatiri akan hilang ditelan hakisan pantai, sekiranya masalah itu tidak ditangani segera.

Itu kerisauan yang disuarakan nelayan, Anuar Khamis, 39, berikutan masalah hakisan yang kini berada di tahap kritikal di kawasan pantai peranginan itu.

Dia yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan berkata, tanpa tindakan segera dilakukan pihak terbabit, kawasan pantai sejauh 2.5 kilometer itu akan kembali seperti asal yang menyaksikan kawasan tembok di tepi jalan raya dinaiki air laut.

Justeru, dia meminta pihak terbabit menyegerakan proses menyelamat pantai berkenaan secepat mungkin bagi membendung perkara itu dengan kadar segera.

“Kami syor kerajaan untuk buat batu pelindung pantai di kawasan ini. Ia bermaksud, satu benteng batu panjang yang melengkung ke laut di kiri dan kanan yang akan membentuk lagun di kawasan ini.

ROSLI

“Saya yakin dengan adanya batu itu, ia akan mengurangkan masalah hakisan terutama ketika musim angin barat dan angin selatan.

“Jika tidak sesuai, mungkin boleh bina satu longkang atau apa sahaja yang bersesuaian. Tanyalah semua pihak bagaimana cara yang paling sesuai dan percepatkanlah tindakan untuk mengelakkan situasi lebih buruk,” katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi nelayan pesisir pantai Rosli Ahmad, 50.

Dia yang juga penduduk asal Kampung Tanah Merah Jaya berkata, pihak terbabit perlulah mengadakan pertemuan dengan semua ahli ilmuan berkaitan hakisan pantai bagi mendapat satu penyelesaian terbaik yang boleh mengawal masalah itu untuk tempoh jangka masa panjang.

“Tahun lalu sudah pernah buat tambak pasir dengan kos kira-kira RM2 juta, tak sampai setahun, tambakan pasir itu sudah habis begitu sahaja.

“Jadi, kita perlulah ada satu pelan inisiatif lain. Saya harap sangat semua pihak bijak pandai di atas sana berbincanglah segera. Buatlah kajian bersesuaian untuk pantai kita yang pendek bagi memastikan imej Pantai Puteri dapat kita kekalkan,” ujarnya.

Views:

1441
Kongsi :
Previous post Kluster Bukit: 100 kontak rapat dikesan, 8 positif COVID-19
Next post Tapak pelupusan sampah haram dipenuhi sisa klinikal dan industri dikesan
Ubah saiz-+=