Penduduk bimbang keselamatan terancam
DUYONG 4 Ogos – Kebanjiran pelarian etnik Rohingya di Semabok yang semakin menguasai penempatan di kawasan itu amat membimbangkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada penduduk kawasan sekitar.
Malah, kumpulan etnik itu bebas menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan lebih membimbangkan mereka semakin berani menimbulkan masalah sosial apabila mabuk dan bergaduh bersenjatakan parang sehingga mengakibatkan kecederaan antara satu sama lain.
Onar dilakukan kumpulan pendatang itu semakin ‘parah’ apabila sewenangnya menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) sebagai tiket untuk melepaskan diri daripada pihak berkuasa.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Jalan Pulau Senang 3, Semabok mendapati kawasan itu yang didakwa menjadi perkampungan etnik berkenaan sering kali menimbulkan kerisauan penduduk setempat.
Seorang daripada penduduk, Salehuddin Amis,30, ketika ditemui berkata dia pernah mengalami situasi cemas apabila dilanggar warga asing berkenaan disebabkan mabuk dan tidak menyedari kehadirannya yang melalui kawasan itu.
“Rumah mak saudara saya di sini dan saya duduk di kampung bersebelahan…ada sekali tu mereka tengah mabuk dan tidak perasan saya sedang lalu kawasan ini, mereka terus melanggar saya dengan motosikal.
“Bukan itu saja, mereka ini selalu bergaduh dan menggunakan senjata yang tajam seperti parang, bila dah bergaduh macam mana nak kawal lagi, jadi penduduk di sini sering ketakutan..
“Kadang tu hasil kutipan seperti besi-besi juga boleh menjadi punca kepada pergaduhan mereka disebabkan mereka berebut siapa yang dapat lebih banyak,” katanya.
Katanya sampai bila penduduk perlu berhadapan situasi tersebut sedangkan kampung itu adalah milik penduduk tempatan, namun kini seolah menjadi perkampungan warga asing.
“Kita nak kawal mereka sendiri memang tak boleh sebab itulah buat saja laporan kepada pihak polis dan imigresen untuk keselamatan diri, bila mereka gaduh kita risau boleh membawa kepada kes pembunuhan.
“Ada juga yang suka berjudi secara dalam talian, melepak sampai dua tiga pagi dengan menjerit dan bising-bising sampai menggangu ketenteraman awam,” katanya.
Manakala bagi Supaati Kasandirin,55, yang menetap di situ lebih 10 tahun sering berhadapan detik cemas setiap kali mendengar berlakunya perbalahan antara etnik berkenaan.
“Saya tinggal sini dah lebih 10 tahun, masalah warga Rohingya ini tidak ramai jarang ada masalah tetapi apabila semakin ramai dan sudah berkeluarga macam-macam perkara yang berlaku.
“Penduduk sini pun selalu bercerita dengan saya ada pergaduhan antara mereka sendiri sampai berdarah semua, sebagai penduduk sudah tentu saya dan keluarga takut, risau dan rasa tidak tenang.
“Kadang-kadang saya selalu tegur anak-anak kecil mereka yang berlari sana sini dan melintas jalan tanpa pengawasan ibu bapa, di sini jalan raya besar banyak kenderaan lalu lalang risau juga kalau berlaku kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Sidang Kampung Semabok, Mohd Kalam Mohamd Yasin,42, meminta supaya etnik berkenaan segera dipindahkan ke kawasan penempatan lain bagi memastikan kesejahteraan penduduk di situ terjaga.
“Mereka (warga Rohingya) ini kerap bergaduh, sebulan empat lima kali bergaduh jadi penduduk kampung rasa terancam sebab pergaduhan mereka ini bukannya pergaduhan kecil, tetapi melibatkan senjata parang.
“Bagi saya kawasan ini tidak sesuai menjadi penempatan mereka, dulu kawasan ini tidak kotor bersih tetapi sekarang dipenuhi besi buruk, sampah dan rumput panjang tidak terurus.
“Di sini saja ada kira-kira 130 etnik Rohingya termasuk lelaki dan perempuan, mereka pula hanya bekerja mesin rumput dan kumpul besi buruk,” katanya.
Ujarnya, meminta supaya pihak berwajib dapat mengambil tindakan dengan mencari satu kawasan untuk menempatkan etnik terbabit.
“Kalau boleh pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya pada mereka ini dengan mencari kawasan yang sesuai untuk mereka selain di Semabok.
“Mereka bertapak di sini hampir 10 tahun, sebelum ini tiada masalah sebab tak ramai hanya sekitar 30 ke 40 orang, sekarang dah lebih 130 orang di sini.
“Mereka juga ada melakukan aktiviti perniagaan sendiri tanpa lesen, saya dah maklum kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pantau gejala ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.