
PENDIKA, TNB dan Surau Anak Air santuni asnaf
SERKAM 31 Disember – Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) menyantuni kira-kira 15 asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dalam Program Ceramah Dhuha di Surau Serkam Anak Air di sini, hari ini.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka dan Jawatankuasa Surau Serkam Anak Air, Serkam.
Terdahulu, program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.
Dalam program ringkas yang bermula jam 10 pagi dan berakhir sebelum Zohor itu, kesemua 15 asnaf menerima sumbangan berupa kit makanan dan wang tunai.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar TNB, Khairizam Ibrahim dan Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat.
Hadir sama pada program itu, Penghulu DUN Serkam, Ahmad Faizal Othman dan penceramah jemputan Ustaz Noramin Said.
Program ringkas tersebut turut diserikan dengan persembahan kumpulan nazam dan berzanji dari Kampung Serkam Darat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.