PENDIKA rai sembilan veteran pengamal media sempena HAWANA 2024

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) meraikan sembilan bekas wartawan yang pernah berkhidmat di negeri ini pada Majlis Jamuan Teh PENDIKA Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sebuah hotel di sini, semalam.

Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat berkata kesemua sembilan bekas pengamal media yang diraikan terdiri daripada bekas wartawan, jurufoto, juruvideo pelbagai agensi berita.

Katanya, majlis julung kali diadakan itu diadakan sempena HAWANA yang disambut pada tanggal 29 Mei setiap tahun.

“Acara seumpama ini akan kita laksanakan setiap tahun bagi mengenang bekas-bekas pengamal media pelbagai agensi yang kini sudah tidak lagi berkhidmat.

“Majlis ini sedikit sebanyak dapat merapatkan silaturahim antara pengamal media yang baharu dan yang sudah lama,” katanya ketika berucap pada Majlis berkenaan.

Hadir sama, Penasihat PENDIKA merangkap Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri, Ezlyn Fardiha Zainal.

Dalam pada itu, wakil bekas pengamal media, Jaafar Nekmat berkata arus pemodenan merubah landskap kerja wartawan pada masa kini.

Jelasnya, bergelar wartawan pada 20 tahun lalu agak mencabar jika dibandingkan pada zaman kini.

“Bagaimanapun saya percaya ada kesukaran dan kesenangan yang dikecapi apabila zaman berubah, begitu juga cara kerja.

“Kalau dahulu, pemberita perlu membawa kamera yang besar dan berat, kodak perlu dihantar ke ibu kota melalui bas dan pelbagai lagi kesukaran, namun kini semuanya di hujung jari,” jelasnya ketika berucap pada majlis terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

73
Kongsi :
Previous post Fenomena kompang, rebana menyatupadukan Melaka seantero nusantara
Next post Pewaris tangan emas nenek
Ubah saiz-+=