Sorting by

×

PENDIDIKAN, KEBAJIKAN FOKUS UTAMA DUN TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TELOK MAS 16 Februari – Aspek pendidikan dan kebajikan antara dua agenda utama yang diberi perhatian dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran pelbagai program berkaitan dua agenda itu akan diadakan secara berterusan dalam bukan membantu rakyat dan mereka yang memerlukan, bahkan demi pembangunan masa hadapan.

“Di dalam DUN Telok Mas kita meletakkan dua perkara penting yang menjadi fokus iaitu aspek pendidikan dan kebajikan,

“Ini termasuklah program pemberian petrol percuma setiap tiga bulan, selain penganjuran Jualan Rahmah juga diteruskan sepanjang masa kerana program jualan ini banyak membantu rakyat yang mana setiap kali penganjuran tidak kurang 800 atau 900 orang akan datang mendapatkan barangan keperluan keperluan.

“Usaha-usaha membantu rakyat ini kita laksanakan sepanjang masa bukan hanya pada waktu pilihan raya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gunting Rambut Secara Percuma ‘Dah Gunting Rambut Ke? Jom Ler’ Peringkat Parlimen Kota Melaka anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Balai Raya Tanjung Nibong, di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, di peringkat DUN Telok Mas pihaknya sentiasa bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana agensi termasuklah MBMB.

“Program gunting rambut percuma yang dianjurkan MBMB ini adalah sumbangan besar khususnya untuk rakyat dan ia harus diteruskan kerana inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu rakyat malah dapat merapatkan agensi bersama masyarakat setempat.

“Selain menyediakan infrastruktur yang baik dan selesa kepada komuniti, MBMB juga memfokuskan program kemasyarakatan apabila mahukan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan baharu berpenampilan kemas dan segak dengan menganjurkan program gunting rambut percuma.

“Untuk itu sekiranya ada lagi program sebegini kita di DUN Telok Mas sedia mengalu-alukannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post MELAKA SERIUS PERANGI DADAH
Next post IBU RENTAS DESA SAMBIL ‘HEALING’