Pendidikan agenda utama tranformasi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BUKIT KATIL 4 Julai – Bidang pendidikan sentiasa menjadi perkara nombor satu dan dianggap sebagai agenda utama dalam mentransformasikan negeri ini sebagai sebuah hab pendidikan tersohor nasional, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri optimis menjadikan sektor pengajian tinggi di Melaka setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain di seluruh negara.

Kata beliau, hasrat itu akan diusahakan kerana ia adalah pelengkap kepada segmen pendidikan tinggi yang berdaya saing di negeri ini.

Jelasnya, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memartabatkan mutu pendidikan di Melaka, termasuk memperuntukkan sejumlah RM14.5 juta bagi menjayakan Inisiatif Kecemerlangan Pendidikan seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2024 yang lalu.

“Inisiatif ini disalurkan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) antaranya yang pertama adalah inisiatif Bijak SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) iaitu insentif bernilai RM50 seorang untuk program kecemerlangan bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dengan implikasi kewangan berjumlah RM700,000.

“Kedua, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sebanyak RM306,000 bagi inisiatif Bijak Tahfiz dengan insentif RM3,000 untuk setiap sekolah tahfiz berdaftar. Sementara itu inisiatif ketiga pula sebanyak RM200,000 diperuntukkan menerusi inisiatif Bijak Ijazah iaitu insentif bernilai RM1,000 seorang kepada anak Melaka yang mendapat Ijazah Kelas Pertama bagi graduan lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara.

“Manakala yang keempat, kerajaan turut memberi insentif RM200 buat anak Melaka yang cemerlang dalam subjek Sejarah iaitu mendapat Gred A+ untuk SPM dan Gred A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan Bijak Sejarah SPM Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 di sebuah pusat konvensyen, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Pengurus Besar TAPEM, Aziz Baba dan Pengarah Pendidikan negeri, Ghazali Ahmad.

Terdahulu, seramai 416 pelajar cemerlang SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta 600 pelajar mencapai A+ dalam mata pelajaran Sejarah bagi SPM 2023 diraikan pada program itu.

Selain itu, enam pelajar memperoeh keputusan A+ penuh turut diraikan dalam program itu dan menerima replika cek Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000, wang tunai RM200 bagi Insentif Bijak Sejarah, sijil dan plak disampaikan Ab Rauf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

119
Kongsi :
Previous post Kasih isteri tak pernah padam
Next post [DIKEMASKINI] Melaka umum insentif RM100 untuk pelajar sekolah ke Pameran Hang Tuah
Ubah saiz-+=