Pendekkan tempoh kuarantin, atasi masalah kekurangan lembu korban

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TABOH NANING 18 Jun – Tempoh kuarantin lembu dari Thailand yang disingkatkan dari 30 kepada hanya 14 hari dijangka mampu menangani isu kekurangan stok ternakan itu menjelang sambutan Aidiladha nanti.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (DVS) Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, berikutan itu isu kekurangan stok lembu yang timbul sebelum ini dijangka dapat diselesaikan menjelang Julai hasil beberapa pendekatan yang dijalankan pihaknya.

Menurutnya perbincangan sudah diadakan bersama pihak berkuasa Thailand menerusi beberapa siri pertemuan dalam usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Jelasnya antara yang dibincangkan adalah perkara berkaitan teknikal dan protokol agar urusan membawa masuk lembu dari negara itu ke Malaysia dilakukan dengan lebih lancar.

“Semalam kita sudah menghantar satu surat terkini kepada pihak Thailand untuk meminta kerjasama mereka agar membenarkan pengeluaran sijil kesihatan veterinar bagi melepaskan lembu-lembu yang telah ada dalam stesen kuarantin di Thailand.

“InsyaAllah dalam tempoh yang terdekat sebelum raya korban isu dalam perkara ini mampu diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan ayam Leong Hup di Tabuh Naning di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Badrul Hisham Mohd.

Mengulas lanjut Dr Norlizan berkata, setakat ini negara hanya mampu membekalkan 38,000 ekor lembu berbanding permintaan 42,000 pada sambutan Aidiladha nanti.

“Kita bergantung kepada lembu dari Thailand berikutan saiz ternakan bersesuaian digunakan untuk ibadah korban,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1618
Kongsi :
Previous post Karnival kerjaya turut tawar peluang untuk OKU
Next post TAPEM teruskan agenda perkasa sistem pendidikan Melaka – KM
Ubah saiz-+=