Pendekatan informatif, interaktif bakal tarik pengunjung ke Jelajah AKM Melaka
MELAKA, 11 Okt – Pendekatan informatif dan interaktif dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang bermula Jumaat ini.
Timbalan Ketua pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat Rosmahwati Ishak berkata konsep itu sejajar dengan objektif Jelajah AKM untuk memudahkan rakyat khususnya di Melaka mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merupakan peneraju Jelajah AKM kali ini mahukan supaya program ditampilkan adalah sesuatu yang dekat dengan hati masyarakat.
“Jadi gabungan elemen konsep KASIH, kesejahteraan sosial dan ekonomi yang menggunakan pendekatan interaktif dan informatif akan membantu dan memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat yang diperlukan sepanjang tiga hari Jelajah AKM itu,” katanya ketika menjadi tetamu di rancangan Apa khabar Malaysia di saluran Bernama TV pagi ini.
Katanya antara perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program yang bermula dari 9 pagi hingga 9 malam itu adalah pendaftaran dan semakan bantuan, pendaftaran orang kurang upaya, pendaftaran Sukarelawan Waja, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia dan kaunter sokongan psikologi bagi ibu bapa dan remaja.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.