Pendekatan baharu tangani isu harga ayam

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

PUTRAJAYA 13 Sept – Satu pendekatan baharu dilaksanakan bagi menangani isu kenaikan harga ayam dengan membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi berlakunya kenaikan harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.

“Pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya,” kata Nanta yang mengambil maklum laporan berhubung harga ayam di pasaran sejak kebelakangan ini, dalam satu kenyataan hari ini.

NANTA. Gambar fail.

Beliau berkata tindakan tegas seperti kompaun maksimum atau pendakwaan di mahkamah akan diambil sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama menjayakan pendekatan baharu tersebut.

Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Namun, tegasnya KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memunipulasi harga di semua peringkat rantaian.

“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan melalui lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga yang mengutip harga setiap hari yang mana trend pergerakan harga diketahui dan tindakan segera diambil ke atas premis yang menjual pada harga tidak munasabah berdasarkan pemantauan ini tanpa menunggu aduan daripada pengguna,” katanya.

Nanta berkata pemantauan harga runcit pada 10 September mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah pada RM8.83/kilogram (kg).

Di Semenanjung, menurutnya harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78/kg dan julat harga jualan adalah antara RM5.99/kg hingga RM11/kg.

Beliau berkata premis yang menjual pada harga melebihi RM9/kg terdiri daripada pasar basah dan awam, dan harga paling tinggi adalah RM11/kg dikesan dijual di Pasar Besar Raub, Pahang.

Nanta berkata, pasar raya dan pasar raya besar masih menawarkan ayam bersih standard pada harga yang berpatutan.

Premis yang menjual pada harga paling rendah pada RM5.99/kg adalah Pasaraya Tesco/Lotus di seluruh negara, manakala pasaraya Giant, Mydin dan Econsave menawarkan ayam pada harga RM7.39 hingga RM7.99/kg.

“Pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam memilih tempat dan masa untuk membeli ayam pada harga patut,” katanya.

Di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33/kg dengan harga paling tinggi adalah RM11.80/kg dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala harga paling rendah RM10.90/kg dijual di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.

Di Sarawak pula, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56/kg dengan harga paling tinggi adalah RM9.80/kg dijual di Central Market, Sarikei manakala harga paling rendah adalah RM7.50/kg dijual di Everwin Supermarket, Mukah.

Nanta berkata, KPDNHEP akan mengadakan perbincangan berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memastikan faktor huluan seperti harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran dapat diminimumkan dan terurus.

Industri dan bekalan ayam dikawal selia oleh MAFI manakala KPDNHEP berkaitan polisi harga ayam di pasaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post Muslim Care kumpul buku untuk banduan
Next post Pelancongan Melaka bangkit
Ubah saiz-+=