Penceramah luar Melaka belum dibenarkan
BANDARAYA MELAKA 4 April. – Penceramah undangan dari luar Melaka masih tidak dibenarkan memberi ceramah di masjid atau surau sehingga perubahan mengenai arahan itu dimaklumkan kelak.
Mufti Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, negeri ini masih menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan negara yang masih lagi dikekalkan meskipun Ramadan akan tiba tidak lama lagi.
Katanya, berikutan itu kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau terdiri daripada penceramah undangan dari negeri ini sahaja.
“Ertinya, mana-mana aktiviti ceramah ketika negeri berdepan PKPP, ia masih terikat dengan SOP iaitu kebenaran diberikan kepada penceramah dari negeri ini sehingga ada pemberitahuan mengenai kelonggaran ke atas penceramah dari luar Melaka dan luar negara diputuskan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika menghadiri pelancaran Pertubuhan Attaisir Malaysia dan Kitab ‘Attaisir Lilhusulil Al-Tartil’ di sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, pihaknya akan memastikan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu mematuhi matlamat penubuhan yang memberi sumbangan kepada masyarakat dalam pembelajaran al-Quran.
“Melaka menjadi negeri pertama penubuhan Attaisiri Malaysia yang bertindak sebagai platform pemudah cara kepada guru dan tenaga pengajar yang berkemahiran mengajar kitab suci al-Quran.
“Penubuhannya menggabungkan guru al-Quran sama ada dalam dan luar negara bersama masyarakat untuk menjadi tenaga pengajar dalam pembelajaran kitab suci itu.
“Bagaimanapun, Jabatan Mufti mengingatkan bagi tenaga pengajar yang mahu mengajar al-Quran di masjid atau surau di negeri ini hendaklah mengambil tauliah mengajar agama atau al-Quran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.