Penceramah luar ke Melaka disaran mohon kebenaran awal

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT PALAH 28 Julai – Mana-mana pihak yang ingin membawa penceramah dari luar Melaka untuk menghantar borang kebenaran dari Jabatan Mufti sekurang-kurangnya seminggu lebih awal sebelum tarikh program.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata bagi kebenaran penceramah dari luar negara perlu dipohon sekurang-kurangnya sebulan lebih awal.

Katanya, ia bagi memastikan pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Melaka Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuat tapisan bagi tujuan keselamatan untuk tidak menimbulkan sebarang ancaman keselamatan dan akidah kepada masyarakat di negeri ini.

“Saya minta untuk mana-mana pihak tolong hantar borang awal dan bukannya minit-minit terakhir, kerana pihak polis dan JAIM perlu membuat tapisan, jika ditolak ia akan menyusahkan banyak pihak.

“Saya juga menyeru kepada jawatankuasa dan pegawai masjid untuk memperkasakan kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah terutamanya di institusi agama bagi menjauhkan ajaran sesat dan menyeleweng,” katanya.

Md Rawi

Beliau berkata demikian dalam ucapan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sempena Multaqa Ulama Wal Umarak pada sambutan Maal Hijrah dan Ekspo Hari Tamadun Islam Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka Ahmad Faizul Abdul Rashid.

Dalam majlis itu juga kira-kira lebih 200 jawatankuasa masjid dan surau dari seluruh negeri Melaka menghadiri program tersebut.

Mengulas lanjut, Md Rawi berkata terdapat segelintir penceramah dari dalam negara mahupun luar negara yang tidak sensitif serta menyentuh isu sensitiviti penduduk dan negeri dan menimbulkan pergolakan.

“Terdapat sebilangan yang tidak memohon kebenaran dari JAIM dan pihak polis telah membawa penceramah yang datang dari negara bergolak dan mempunyai ketidakstabilan dari segi keselamatan memberi kesan negatif terhadap perkara tertentu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1493
Kongsi :
Previous post Wanita meninggal dunia selepas jalani rawatan tradisional
Next post AHM galak pembudayaan teknologi hijau
Ubah saiz-+=