Sorting by

×

Penceramah dari lokasi PKPB tak dibenarkan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 27 Okt. – Penceramah luar terutama dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan memberi ceramah di masjid serta surau di negeri ini berkuatkuasa sejak 24 Oktober lalu sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu diambil sebagai usaha untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini berikutan kes di Melaka menunjukkan peningkatan.

Jelasnya, program keagamaan yang membabitkan skala besar turut ditangguhkan untuk sementara waktu, sehingga kes COVID-19 kembali reda.

“Masjid dan surau yang ingin mengadakan majlis berzanji dan marhaban membabitkan skala 10 hingga 15 orang, maka pihak kami tiada halangan untuk membenarkan.

“Walau bagaimanapun sekiranya pihak masjid dan surau membuat majlis dalam skala yang besar terutama melibatkan penceramah undangan yang merentas negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor telah kita putuskan untuk tangguhkan sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sumbangan petrol, makanan dan penyampaian zakat asnaf dianjurkan oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Rembia, Melaka.

Mengulas lanjut, katanya program keagamaan berskala kecil membabitkan kapasiti 40 peratus daripada ruang masjid masih dibenarkan di negeri itu.

Dalam pada itu, katanya pentadbir masjid dan surau dikehendaki mendaftarkan aplikasi MySejahtera, menyediakan rekod pendaftaran secara manual bagi tujuan pendaftaran jemaah, manakala makanan perlu disediakan secara pembungkusan.

Views:

560
Kongsi :
Previous post OKP dedah ‘rahsia’ sendiri
Next post COVID-19: Melaka tangguhkan penganjuran majlis rasmi
Ubah saiz-+=